Related Posts with Thumbnails

Jumaat, 9 April 2010

Dugaan hidup; Interprasi pengurniaan darjat

>>Artikel tazkirah bersalut tazkiah ini adalah hasil pengamatanku yang kerdil ini. Aku bersyukur kepada ilahi yang mengilhamkan segala pengetahuan alam.<<

Kehidupan mematangkan kita. Ranjau dunia yang perit serta memori indah yang tersulam merupakan suatu momentum dari ilahi bagi membersihkan insan daripada segala kelemahan diri. Setiap perkara yang terjadi, bersamanya ada hikmah yang tersembunyi. Hukamak ada berkata, semakin lambat seseorang insan itu redha atas taqdir yang terjadi, maka semakin lambatlah matahati dapat menyingkap hikmah yang tersirat.

Ahli sufi ada berbicara, semakin tinggi maqam (darjat) seseorang insan menurut tuhannya, justeru semakin tinggilah dugaan hidup yang ditempuhnya.

Tatkala kita diuji dengan berbagai-bagai onak cabaran yang memeritkan, ingatlah bahawa Allah itu ada. Dia menguji kita supaya dapat memastikan adakah kita seorang hamba yang penyabar serta redha, atau sebaliknya.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat..."(SURAH AL-BAQARAH, 2:186)

"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa Maha Pengampun" (SURAH AL-MULK, 67:2)

Kadangkala rencah musibah yang menggoncangkan jiwa bagai dirasa sekadar sia-sia. Namun begitu, ingatlah teman bahawa seorang muslim tidak akan merasa rugi lantaran janji-janji yang telah terpateri.

"Dari Abu Said al-Khudri radh. dan Abu Hurairah radh. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W bersabda; Tiada seorang muslim yang ditimpa musibah, keletihan,sakit, terganggu fikirannya, sedih, bimbang, kecemasan sehingga tercucuk dengan duri sekalipun melainkan diampuni akan dosa-dosanya." (HR BUKHARI)

Persis seorang pelajar cemerlang yang gigih menahan segala dugaan demi manggapai segulung kejayaan, begitu juga kehidupan sebagai pertempuran antara nafsu dan iman. Kesukaran yang melanda mengkehendaki dominasi iman yang optimum lantas ligat merencana formasi kesabaran demi manggapai kemuliaan khalifah di muka bumi Allah.

Allah yang Maha Bijaksana sengaja menyembunyikan khazanah kemuliaan amalan iman dari mata kasar insan agar hanya barisan yang menyemat komitmen yang jitu layak diuji bagi melayakkan pengurniaan darjat yang lebih tinggi diberi.

"Dari Abu Hurairah radh. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W bersabda: sesungguhnya Allah S.W.T telah menetapkan ketinggian darjat seseorang itu pada satu tahap melalui amalannya. Namun melalui amalannya itu, dia gagal mencapai darjat tersebut. Lalu Allah menguji 9dengan berbagai penderitaan, kesakitan atau kesusahan) sehinggalah dia sampai ke darjat tersebut." (HADIS NABI)

Solusi kerungsingan yang dirasai sebenarnya bermula dari dalam diri. Ibarat dalam huru-hara kancah peperangan, laskar yang tidak berfikiran tenang akan sukar merangka strategi serangan balas malah tindak-tanduknya akan terburu-buru lalu kemungkinan maut baginya malahan hampir. Redha dan sabar merupakan aset seorang muslim tatkala mengharungi pancaroba duniawi.

"Dari Anas radh. meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda; Sesungguhnya besarnya pahala adalah bergantung dengan besarnya ujian atau penderitaan. Dan sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum. Dia akan menguji mereka (dengan penderitaan). Oleh sebab itu, barangsiapa yang redhai ujian Allah, Allah juga akan meredhainya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah juga tidak meredhainya" (HR TARMIZI)

"Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan janganlah (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang beriman." (SURAH ALI-IMRAN :139)

"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan salat. Sungguh, Allah beserta dengan orang-orang yang sabar." (SURAH AL-BAQARAH :152-153)

"Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepadaNya, dan menghapuskan kesusahan." (SURAH AL-NAML :62)

"(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata; "sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjik hidayatNya." (SURAH AL-BAQARAH: 156-157)

Dugaan adalah peringatan. Saat mentaliti leka dek hempasan halusinasi duniawi, dugaan adalah ayat-ayat Tuhan yang mengingatkan hakikat kehidupan duniawi adalah demi ukhrawi. Musibah selaku pengikis dosa menyucikan insan daripada khilaf agar ia termaaf.

Usah risau andai tandusnya nikmat, tetapi risaulah jika hidup seakan-akan istidraj. Semoga perkongsian yang sedikit ini adalah saham akhiratku yang kekal. wassalam.

~~"Aku memohon hari yang panas sempurna, agar aku bisa menikmati kenikmatan alam buana. Namun Dia menurunkan petir yang bising..merenggut harapanku. Dia mentaqdirkan gerimis, kemudian hujan yang lebat lagi dingin. Aku hampa kecewa. ujarku,"Tuhan tidak adil!..memberiku yang ku tidak mahu." Aku terus bermurun. Kedinginan kian suam, gerimis kian menghilang. kornia mataku menyaksiakan transformasi semesta. Aku terpana. Rupa-rupanya Dia ingin mengurniakan ku pelangi yang mempesona. Sungguh menakjubkan ciptaanNya. Ujian adalah manifestasi pelangi yang menjadi ayat-ayat cintaNya."~~

1 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam